Wednesday, 20 September 2017

Kek Chocolate Indulgence

Hai assalamualaikum.

Tengok tajuk pun dah terliur kan? Huhu. Untuk hari ni saya nak kongsikan resepi Kek Chocolate Indulgence. Jadi tak payah pergi Secret Recipe dah lepas ni. Buat dekat rumah je. Huhuhu.


Bahan - bahan :

KRIM PUTIH
60 gm gula icing
2 biji kuning telur
120 gram mentega tanpa garam
4 gm gelatin
50 ml air
100 gm coklat masakan putih
260 gm krim tenusu



KRIM COKLAT
80 gm gula icing
3 biji kuning telur
120 gm mentega tanpa garam
4 gm gelatin
50 ml air
150 gm coklat masakkan gelap
300 gm krim tenusu



GANACHE CHOCOLATE
Bahan A
250 ml krim tenusu
40 gm sirap glukos (boleh didapati di kedai menjual bahan kek)

Bahan B
400 gm coklat masakan gelap
30 gm mentega
Cara - caranya :

Larutkan gelatin dengan air dan cairkan coklat masakan dengan kaedah double boiling.




Untuk krim putih, ayak gula icing dan pukul telur dengan gula icing sehingga sebati.

Panaskan adunan dengan menggunakan kaedah kukusan seperti gambar 3. Pukul adunan di atas periuk sehingga adunan menjadi pekat.


Masukkan gelatin yang telah dilarutkan dengan air ke dalam adunan dan pukul adunan.


Dalam bekas yang berasingan, putarkan mentega sehingga kembang dan warna menjadi pucat. Masukkan pula adunan telur, gula icing dan gelatin tadi. Setelah adunan menjadi sebati, masukkan coklat putih yang telah dicairkan dan putar sehingga rata.


Selepas itu, putarkan pula krim tenusu sehingga kental dan kembang. Jangan terlebih putar, adunan akan menjadi cair pula.


Ambil 1 per 3 adunan krim putar tenusu dan campurkan ke dalam adunan coklat putih tadi dan gaul dengan menggunakan kaedah kaup balik sehingga adunan menjadi rata.

Baki krim putar tenusu tadi hendaklah dimasukkan ke dalam piping bag dan dibiarkan di dalam peti ais selama 1 jam.


*p/s Jika anda alah dengan krim tenusu, anda boleh menggunakan krim bukan tenusu. Kaedah sama sahaja tapi tidak menggunakan gula icing.

Baiklah, untuk krim coklat pula, larutkan gelatin dengan air dan cairkan coklat masakan dengan kaedah double boiling juga.


Putarkan telur sama seperti kaedah krim putih, masukkan gelatin dan putar sehingga sebati.

Dalam bekas yang berasingan, putar mentega sehingga kembang dan pucat. Masukkan coklat masakan ke dalam mentega dan putar sehingga adunan menjadi rata.


Dalam bekas yang berasingan juga, putar krim tenusu sehingga kental dan kembang. *sekiranya alah dengan krim tenusu, boleh juga gunakan krim bukan tenusu.

1 per 3 daripada krim tenusu dicampurkan dengan adunan coklat tadi dan selebihnya dimasukkan ke dalam piping bag dan diletakkan di dalam peti ais selama 1 jam juga.


Selepas 1 jam, keluarkan kesemua adunan tadi daripada peti ais.


Selesai sudah untuk krim. Sekarang proses untuk membuat lapisan pada kek pula. 

Potong kek span coklat kepada 4 keping. Resepi untuk kek span coklat pernah saya kongsikan dalam entry ni  Kek Span Coklat ataupun boleh beli di pasaraya Giant yang berhampiran. Huhu.



Pastikan kek dipotong dengan ketebalan yang sama.


Ratakan adunan krim putih di atas kek span. Selepas itu, letakkan pula kek span di atas krim putih. Kaedah ini diulang dengan diselang-selikan krim putih dan krim coklat. Boleh rujuk gambar di bawah.


Akhir sekali, ratakan keseluruhan lapisan luar kek dengan krim coklat dan kemaskan.



Simpan kek di dalam peti ais semalam atau paling kurang 8 jam untuk mendapatkan hasil yang cantik selepas dipotong nanti.

Sementara itu, kita sediakan ganache chocolate

Campurkan krim tenusu dengan sirap glukos dan didihkan sehingga timbul buih-buih kecil di tepi periuk.

Cincang coklat masakan gelap sehingga halus. 



Tuangkan krim yang telah dididihkan tadi ke dalam coklat dan biarkan coklat menjadi cair.

Masukkan mentega dan gaulkan sehingga rata.




Salutkan kek dengan ganache chocolate dengan menyapu ganache chocolate ke seluruh bahagian kek.



Kek telah pun siap dan masukkan ke dalam peti ais sebentar sebelum dihias.


Hias kek dengan kreativiti anda sendiri. 



Kek telah sedia untuk dihidang. Kek yang saya kongsikan kali ni sedikit susah berbanding kek sebelum ni. Tapi rasanya sangat sedap. Sangat berbaloi. Hehehehe.

Resepi ini saya ambil dari  blog masam manis.
Sekian, assalamualaikum.












No comments:

Post a Comment